REFLEKSI BAB 2 : PENGURUSAN PEMBELAJARAN

Sebagai salah seorang pelajar di IPG, pengurusan pembelajaran amat penting supaya tugasan kerja kursus dan tugasan-tugasan yang lain tidak tertangguh memandangkan jadual kita sentiasa padat dengan aktiviti-aktiviti sama ada yang dianjurkan oleh IPG atau pihak luar. Pengurusan pembelajaran membincangkan aspek berkaitan dengan penetapan matlamat diri dan akademik, pengurusan masa, mengenali gaya pembelajaran kendiri, strategi meningkatkan ingatan dan perancangan jadual belajar. 

Saya percaya setiap insan di dunia ini mempunyai matlamat mereka yang tersendiri. Matlamat saya adalah untuk menjadi seorang pelajar IPG dan bakal pendidik. Sebagai seorang pelajar, saya hendaklah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akdemik dan sahsiah diri sesuai dengan keperluan KPM sebagai seorang bakal pendidik. Selain itu, sebagai seorang guru, ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai perlu dikembangkan supaya dapat memenuhi keperluan pendidikan pada abad pascaglobalisasi dan pascaperindustrian kini. Matlamat akademik sebagai seorang pelajar adalah untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik. Pelajar perlu berusaha sehabis baik dalam akademik supaya boleh dijadikan bekalan dalam kerjaya pendidikan selain menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Selain itu, pengurusan masa juga penting bagi seorang pelajar kerana pengurusan masa yang sistematik turut menyumbang kepada kejayaan seseorang pelajar. Misalnya, seseorang pelajar itu berjaya menyiapkan tugasan mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Kejayaan lain juga dapat dilihat telah tercapai apabila pelajar dapat mengawal diri dan kehidupannya, mengawal stres, menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika menyiapkan tugasan, menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan, mengikuti semua program dan aktiviti di IPG dan sebagainya. Semua aktiviti berkenaan adalah sebagai persediaan pelajar untuk menjadi seorang guru yang cemerlang dan kompeten yang bakal menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. 


No comments:

Post a Comment

  Tentang Saya Hai semua! Blog ini pada asalnya diwujudkan sebab ada kaitan dengan kerja kursus semasa belajar dulu. Nak delete blog, sayang...