Sebagai seorang pelajar PPISMP, saya telah belajar subjek Kemahiran Belajar. Tidak dinafikan bahawa ini adalah pertama kali saya belajar subjek ini. Apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran belajar? Kemahiran belajar dapat ditakrifkan sebagai keupayaan, kecekapan atau kebolehan seseorang mendapatkan pengetahuan dan ilmu pengetahuan serta berlakunya perubahan tingkah laku dalam diri seseorang.Sebagai seorang bakal pendidik, kemahiran belajar amat penting kerana ini adalah proses untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya individu ini berilmu dan berkemahiran serta dapat menyalurkan ilmu yang dipelajarinya kepada murid-murid. Ini adalah kerana guru bertanggungjawab membantu setiap anak muridnya untuk meningkatkan kemahiran belajar masing-masing.
Pada abad ke-21, kemahiran belajar kebiasaannya disebut sebagai 4C's iaitu pemikiran kritis, pemikiran kreatif, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berkolaborasi. Semua kemahiran ini amat membantu kami sebagai pelajar dalam pembelajaran. Mengikut keperluan Sekolah Bestari, kemahiran belajar termasuk kemahiran mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, kemahiran memproses maklumat dan kemahiran menyampaikan maklumat.
Melalui bab 1 ini, saya telah mengetahui strategi pembelajaran dan jenis pembelajaran. Strategi pembelajaran bermaksud rancangan yang diatur untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah. Manakala pula, jenis pembelajaran adalah kaedah guru untuk meningkatkan keupayaan murid untuk memahami dan mengetahui ilmu pengetahuan serta kemahiran yang disampaikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam pada itu, murid atau pelajar perlu mengenal pasti teknik pembelajaran yang diminati supaya dapat membantu diri sendiri untuk meningkatkan kefahaman masing-masing dalam sesi pembelajaran dan pengajaran dan seterusnya meningkatkan prestasi akademik.
Selain itu, pembelajaran di IPG adalah lebih mencabar berbanding di sekolah. Hal ini kerana cara pembelajaran di IPG memerlukan pelajar atau seorang bakal pendidik yang menyediakan diri untuk menyiapkan tugasan kerja kursus, menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran, berkemahiran interpersonal dan intrapersonal yang tinggi dan mempunyai usaha serta komitmen yang tinggi untuk meningkatkan dan mengembangkan potensi serta kebolehan diri sendiri. Oleh itu, setiap pelajar harus mengetahui teknik belajar masing-masing supaya tidak berasa tertekan apabila mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan akhir tahun kerana persekitaran yang terlalu sibuk.
No comments:
Post a Comment